¡Sorpréndeme!

Rugi lebih RM100,000, beg merah diragut ketika makan

2017-09-28 86,799 Dailymotion

Seorang wanita 'berputih mata' apabila sejumlah wang tunai lebih RM100,000 diragut seorang lelaki ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan pada Jumaat lalu.

Berdasarkan rakaman CCTV yang tular di media sosial itu memaparkan suspek mendekati meja makan mangsa sebelum merampas beg tangan mangsa yang diletakkan di kerusi bersebelahan, sekitar 12 tengah hari.

Suspek dilihat melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedang menunggunya diekori sebuah lagi kereta jenis sama.

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek sebelum itu dikesan keluar dari sebuah kenderaan di laluan berhampiran premis itu.

“Suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan. Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu. Kejadian ragut itu menyebabkan mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM117,630.

“Menurut keterangan mangsa, wang berkenaan adalah pinjaman daripada saudara-mara dan milik diri sendiri. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan di sini, sejurus kejadian,” katanya.

Megat berkata, pihaknya segera menjalankan siasatan sebelum menahan lapan lelaki termasuk dua lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan.

“Semua suspek ditahan di sekitar Seri Kembangan, di sini, Isnin lalu. Hasil soal siasat yang dijalankan, enam lelaki tempatan terbabit dilepaskan dengan jaminan polis, manakala dua lelaki warga Indonesia itu direman hingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.